Jumaat, 8 Oktober 2010

Mungkinkah...

Liyana cuba menenangkan hati Nurra...baginya jika Nurra terluka, dia merasai kesakitan itu. Bukan mahu mendabik dada...tapi Liyana tahu siapa Nurra. Nurra gadis ayu, bukan terlalu jelita bagai Aishwarya Rai, tapi dia ada segalanya. Wajah bujur sireh dengan pakej lengkap budi yang tinggi. Tidak lembik tapi bukan ganas seperti yang digambarkan, namun cukup memenuhi kehendak mata dan peradaban orang Melayu khususnya. 
        Ini kali pertama Nurra lama berada di kampung setelah bertahun melarikan diri daripada sesuatu yang menyakitkan. " Sudahlah Nurra...tak baik dikenang kembali, tiada untungnya......ingat-ingat kesihatan kau tu. Karang apa-apa hal susah aku dan Mak Lia," cetus Liyana. Bagi Liyana dan Mak Lia, panggilan untuk ibu Nurra, tiada apa yang menjadi keutamaan selain kegembiraan Nurra. 
            Nurra dilihat kian bungkam dengan wajah sugul tanpa sepatah kata. Hanya lirik mata yang berkata-kata mahu menggambarkan gelora hatinya. Namun tak sebutir kata terpacul daripada mulutnya. Apa yang pasti, saat seperti inilah yang ingin dielakkan , namun apa kudrat Liyana apabila situasi tetap terjadi. " Nurra, aku rasa tak payahlah kau fikirkan sangat pasal tu........aku tak mahu kau macam ni....cukuplah tu. Aku rasa kita batalkanlah rancangan kita ke pekan ni. Esok sahaja kita pergi, lagipun dah lewat benar ni. Aku sebagai sahabat kau, tak nak kau terganggu lagi. Aku balik dulu k........ok tak ni?". 
         Dilihat Nurra menganggukkan kepala, Liyana faham bahawa keadaan masih terkawal. " Yana.....dah nak balik dah ?" sapa Mak Lia tika bertembung di muka pintu. Liyana tersenyum dan menganggukkan kepala. Diiringi langkah Liyana dengan hati yang bercelaru di hati Mak Lia. Menjenguk Nurra yang masih bertongkatkan dagu di muka tingkap, Mak Lia terus beredar ke dapur. Tidak mahu mengganggu resah hati anaknya, baginya Nurra harus menerima kenyataan atas apa yang sudah ditakdirkan harus diterima takdir itu dengan redha. Tidak kira sesukar dan sepahit mana kenyataan itu. Nurra cuba menahan getar hatinya yang pedih, cuba ditahan air mata yang mula ingin menitik. Jika boleh tidak mahu setitis air mata perlu ditumpahkan lagi. 
          Cukuplah yang lalu....tapi sekuat mana jiwa seorang gadis itu. Hanya air mata yang mampu menghuraikan segalanya...tentang dia, Zain dan Sarah!. Mungkinkah air mata akan tetap gugur ????!!!! mungkinkah?